Cinta Menurut Pandangan
Islam
Susunan NURBALQIS
HAYATI AHMAD NAJIH
Cinta. Apa itu cinta?
Jika kita berbicara tentang cinta, pasti kita tidak terlepas daripada
memperkatakan tentang cinta monyet yang menjadi nadi kepada kehidupan muda-mudi
masa kini. Malahan kebanyakan cinta seperti ini menjurus kepada pelakunya untuk
membuat perkara maksiat tanpa menilai dan memahami erti cinta yang
sebenar-benarnya. Cinta bukan sekotor itu.
Apakah maksud atau
makna cinta? Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati
setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada satu perasaan yang halus. Cinta
mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia dan makhluk
di dunia ini. Tanpa perasaan cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di
dalam jiwa mereka.
Cinta yang hanya
berpaksikan runtutan fitrah tanpa dicemari oleh hawa syahwat melambangkan
kedamaian, keamanan dan ketenangan.
Bagaimanapun, cinta
seringkali diperalatkan untuk melepaskan keghairahan nafsu. Maka akan terjadi
bermacam perkara yang merosakkan manusia dan membawa kepada kemaksiatan dan
kehancuran umat terutama bagi golongan remaja yang terlalu taksub dan asyik
dengan cinta tanpa ada penilaian dan pertimbangan akal fikiran yang waras.
Cinta yang hanya
berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik
dan hina. Oleh hal yang demikian itu, sebagai remaja, terutamanya remaja
mukmin, kita sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa dengan
lebih memahami makna dan erti serta cara yang sesuai untuk menerima dan memberi
cinta kepada seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu
semata.
Cinta dan
permasalahannya telah menjadi perkara serius yang dihadapi oleh umat Islam hari
ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan umat Islam
menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah menyebabkan
umat Islam memusnahkan etika spritual - membunuh solidariti dan menodai sosial
sehingga ada yang sanggup membunuh dan membunuh diri akibat daripada tekanan
perasaan yang sukar untuk dikawal.
Islam tidak memusuhi
cinta. Ini sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai agama yang menepati fitrah
manusia. Malah, Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan
perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia.
Bagaimanapun, cinta di
dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri
seperti:
1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan cinta
yang tertinggi dalam kehidupan manusia, iaitu cinta kepada Allah. Tanpa cinta
kepada Allah, perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti, sedangkan
apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan mencintai Allah.
Dengan cinta akan mendorong manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah serta
menerbitkan iman yang mantap.
Firman Allah s.w.t:
“... (Walaupun
demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah
(untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan
mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang
beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah : 165)
2. Cinta kepada
Rasulullah s.a.w. dan Para Anbia´
Ketika manusia berada
di dalam kegelapan, maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk
disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah
Rasulullah s.a.w.
Maka, menjadi satu
kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya
kepada Rasulullah dan para anbia´ dengan mengikut segala sifat yang terpuji.
Kerana perasaan
kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa dan menjadikan tubuh
masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w dalam usaha
Baginda untuk menyebarkan agama Islam.
Dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:
“Diriwayatkan daripada
Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam
diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman:
Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain
kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada
kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana
dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Bukhari: no. 15, Muslim no.
60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901)
3. Cinta Sesama Mukmin
Perasaan kasih sayang
sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan.
Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain
daripada cinta kepada kedua-dua ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama
mukmin sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama
Rasulullah s.a.w.
Maksud firman Allah
s.w.t:
“... Nabi Muhammad
(s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap
keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya
bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat
Islam)...” (Surah Al-Fath: 29)
Inilah yang telah
diajar oleh Islam. Maka masyarakat sejagat, malah umat Islam sendiri dapat
melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di
dalam Islam dan begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya
supaya tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.
Itulah cinta di dalam
Islam. Ia haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah
ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang
menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ´syaitan cinta´
sewenangnya-wenangnya.
Sesungguhnya cinta
sebelum perkahwinan merupakan cinta palsu walaupun dihiasi dengan rayuan manja
kerana itu hanya panggilan ke lembah kebinasaan. Masa muda yang dianugerahkan
oleh Allah hanyalah sekali berlaku dalam hidup dan tidak berulang lagi untuk
kali kedua atau seterusnya.
Maka dalam meniti usia,
remaja perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun merupakan perkara
yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan,
semakin ia datang mencengkam. Itulah azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah
malunya untuk kita tewas dan kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang
menghancurkan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar